Terbaru, Koperasi UUM melangkah setapak lagi apabila menerokai perniagaan lain di luar kampus secara usaha sama dengan orang perseorangan bagi menjalankan kerja-kerja pengendalian kuari pasir di Bukit Selambau, Kedah menerusi syarikat Uni Kuari.
Projek tersebut melibatkan pelaburan sebanyak RM600,000 di atas tapak seluas 1.881 hektar di kawasan tersebut.
Daripada jumlah itu, RM300,000 diperuntukkan untuk pembelian tanah dan selebihnya bagi tujuan perbelanjaan operasi projek kuari.
Ia dijangkakan memberi pulangan cukup menarik kepada Koperasi UUM dengan anggaran RM30,000 sebulan menerusi hasil penjualan pasir berdasarkan permintaan tinggi terhadap bahan tersebut khususnya bagi tujuan pembinaan pelbagai projek di Kedah.
Pihak koperasi berkenaan kini giat mencari pasaran yang strategik seperti menjadi pembekal pasir bagi projek landasan kereta api berkembar dan syarikat pembinaan serta perumahan.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai peranan Koperasi UUM pada masa depan, Prof. Dr. Abdul Razak berkata, koperasi berkenaan juga sedang menjalin kerjasama dengan sebuah koperasi lain di Kuala Lumpur untuk menceburi bidang perniagaan mencuci bangunan.
“Jika tidak ada halangan, kami jangkakan perniagaan baru ini dapat berjalan dengan lancar pada hujung tahun ini,” kata beliau.
Koperasi tersebut kini diperkuatkan dengan 80 kakitangan pelbagai jawatan termasuk mengendalikan kesemua premis perniagaannya.
“Selepas kejayaan, daripada sebuah koperasi kecil sehingga pencapaian sekarang ini, kami percaya Koperasi Universiti Utara Malaysia mampu untuk dipacu ke arah lebih gemilang lagi berdasarkan kemajuan semasanya yang cukup memberangsangkan.
“Kejayaan yang mampu dikecapi oleh seluruh warga kerja Koperasi Universiti Utara Malaysia bakal mencetus semangat lebih gigih di samping komitmen tinggi untuk memastikan ia terus kekal sebagai sebuah koperasi yang terbaik selain maju dalam beberapa lagi aktiviti perniagaan,” tambah beliau.
Sehubungan itu, disiplin yang tinggi diterapkan melibatkan kesemua warga kerjanya bagi memastikan impian tersebut tercapai.