Dalam mempergiatkan aktiviti perniagaannya ke arah yang lebih maju lagi, Koperasi Iman telah memperkenalkan perkhidmatan Skim Pembiayaan Barangan Pengguna (As-Syarik) kepada anggota-anggotanya dengan membeli produk Koperasi yang dijual menerusi jalinan rangkaiannya. Produk pengguna yang dijual oleh Koperasi Iman adalah seperti barangan elektrik (seperti TV, peti ais, air-cond, dll), komputer, hi-fi, perabut, barangan kesihatan, motorsikal berjenama MODENAS dan lain-lain.Walau bagaimanapun, pembiayaan ini telah ditamatkan pada tahun 2002.
Bermula pada tahun 2005, Koperasi Iman telah mula menawarkan perkhidmatan Skim Pembiayaan Tunai kepada anggota-anggotanya. Aktiviti daripada skim ini telah memberi sumbangan yang utama kepada pendapatan Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad KOPERASI IMAN. Koperasi Iman juga memainkan peranan bermula daripada pemasaran, pemprosesan, kelulusan, kutipan bayaran balik dan susulan kredit.
Pembiayaan Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad (‘KOPERASI IMAN’) ini digunakan untuk menyalurkan pembiayaan peribadi tunai kepada anggota-anggota koperasi. Selain daripada perkhidmatan Skim Pembiayaan Tunai kepada anggota-anggotanya, Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad KOPERASI IMAN menawarkan satu lagi perkhidmatan iaitu pembukaan bagi perniagaan Ar Rahnu X’Change.
Kedai Ar Rahnu X’Change ini telah mula beroperasi pada 16hb Mei, 2008. Perniagaan Ar Rahnu ini merupakan satu perniagaan francaise di mana Rakyat Management Services Sdn Bhd (RMS) yang merupakan anak syarikat Bank Rakyat berperanan sebagai francaisor sementara Koperasi Iman sebagai Francaisi. Selain daripada aktiviti kredit dan pajak gadai, Koperasi Iman juga terlibat dalam aktiviti pertanian iaitu ternakan lembu fidlot dan kambing. Selain itu juga, sebagai nilai tambah aktiviti tersebut, Koperasi Iman juga menghasilkan baja organik dengan jenama sendiri iaitu i-Man Farm.
Pusat Ternakan i-Man Farm kini beroperasi di Hulu Langat dengan keluasan tanah 1.656 ekar. Pusat ternakan ini mampu menempatkan sehingga 250 ekor lembu dan 200 ekor kambing pada satu-satu masa. Dengan kekuatan kakitangan yang bertugas di Unit Operasi, Unit Pemasaran dan dengan pemantauan Penyelia Ladang serta di bantu oleh kakitangan am di pusat ternakan, Koperasi Iman yakin bahawa sektor ini mampu bersaing secara agresif di kalangan syarikat perladangan yang sedia ada.
Sehingga 31hb Disember, 2009; Modal Syer dan Yuran Anggota telahpun meningkat kepada RM3,586,960.01 dengan jumlah keanggotaan seramai 10,682 orang. Keanggotaan Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad KOPERASI IMAN ini terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat; terutamanya dari kalangan kakitangan Kerajaan, Badan-Badan Berkanun dan GLC (Government Link Companies).
Koperasi Serbaguna Iman Malaysia Berhad KOPERASI IMAN juga adalah ahli kepada ANGKASA (Badan Puncak Gerakan Koperasi) yang mengendalikan khidmat potongan gaji untuk kakitangan Kerajaan dan khidmat Latihan.