Tujuan
Diwujudkan bagi membantu anggota Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional Berhad KOBANAS disamping mempunyai insurans perlindungan dan menggalakkan menabung untuk masa tua.
Syarat-Syarat Penyertaan
- Pelan ini boleh disertai oleh anggota-anggota KOBANAS serta pasangan.
- Had umur dari 18 tahun sehingga 55 tahun pada hari jadi akan datang.
- Umur matang peserta tidak akan melebihi 60 tahun.
Jumlah Sumbangan & Perlindungan
Jumlah sumbangan minima adalah sebanyak RM10 bagi jumlah perlindungan berjumlah RM17,000 kematian biasa dan keilatan kekal manakala bagi kematian disebabkan kemalangan jumlah perlindungan adalah 2 kali ganda iaitu berjumlah RM34,000.
Takaful Barakah Plus melindungi peserta selama 24 jam di seluruh dunia.
Jadual Perlindungan Takrif Keilatan
- Kehilangan kedua-dua belah tangan.
- Kehilangan kedua-dua belah kaki.
- Kehilangan sebelah tangan dan kaki.
- Lumpuh dan menyebabkan terlantar buat selamanya.
- Kelumpuhan sepenuhnya yang berkekalan.
- Kehilangan kedua-dua belah mata.
- Kehilangan penglihatan kedua-dua belah mata sepenuhnya.
Jumlah Simpanan
Daripada jumlah sumbangan ini 43% akan dikreditkan ke dalam akaun peserta manakala 57% akan dikreditkan ke Akaun Khas Peserta sebagai tabarru.
Simpanan 43% ini akan dibayar balik sekiranya peserta menamatkan skim ini bersama-sama dengan keuntungan yang dikira setiap tahun.
Pembahagian Keuntungan Pelaburan
Pembahagian keuntungan diberikan mengikut nisbah 80% kepada peserta dan 20% kepada syarikat insurans.
Pengecualian Pemeriksaan Kesihatan
Peserta dikecualikan daripada pemeriksaan kesihatan bagi caruman bulanan sehingga RM30 dengan penyertaan 1,000 peserta pada satu masa.
Cara-Cara Penyertaan
Penyertaan adalah bergantung kepada persetujuan anggota-anggota Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional Berhad KOBANAS. Bagi menyertai Pelan Takaful Barakah ini setiap anggota dikehendaki mengisi borang yang disediakan samada membuat sumbangan bersekali dengan pasangan dan mengemukakan borang yang telah disempurnakan kepada pejabat KOBANAS.
Pihak KOBANAS akan meneliti borang berkenaan sebelum di hantar ke pihak Takaful Nasional Berhad. Pihak Takaful akan mengemukakan senarai nota debit kepada KOBANAS bagi pembayaran sumbangan yang dipersetujui.
Pihak KOBANAS akan membuat pemotongan gaji anggota berdasarkan jumlah yang dikehendaki oleh anggota setiap bulan.
Sijil penyertaan akan dikeluarkan kepada peserta dan pasangan oleh pihak Takaful Nasional Berhad.
Cara Membuat Tuntutan
Sebarang tuntutan perlu dikemukakan kepada pemegang kontrak iaitu Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional Berhad KOBANAS dalam masa 23 hari daripada tarikh berlakunya kematian ataupun keilatan kekal menyeluruh atau permohonan manfaat hospital bersama-sama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan seperti berikut:
- Salinan sijil kematian yang disahkan oleh perwakilan/ketua bahagian (bagi kematian).
- Salinan surat pengesahan doktor (bagi keilatan kekal menyeluruh).
- Salinan resit hospital (bagi tuntutan hospital).
- Kad pengenalan awris/penuntut.
- Surat pengesahan penuntut.
Setelah ianya diterima pihak KOBANAS akan mengisi borang tuntutan untuk dikemukakan kepada pihak Takaful Nasional Berhad. Sekiranya tiada masalah pihak Takaful Nasional Berhad akan membuat bayaran kepada KOBANAS sebagai Pemegang Kontrak Induk sebelum ianya diserahkan kepada pihak penuntut.