Aturkan Simpanan dan Perbelanjaan adalah langkah pertama dalam 10 Langkah Pengurusan Kewangan Bijak dan Cermat Episod 1. Bagaimana cara mengatur simpanan dan perbelanjaan supaya sistematik dan konsisten?
Terdapat banyak cara yang boleh anda gunakan. Terdapat tiga (3) cara mengenalpasti perbelanjaan dalam 10 Langkah Pengurusan Kewangan Bijak dan Cermat dan dapat diterjemahkan seperti dibawah:
- Mengetahui perbelanjaan sebenar setiap bulan
- Mengetahui perbelanjaan suka-suka
- Mengetahui perbelanjaan luar jangka
Mengetahui Perbelanjaan Sebenar Setiap Bulan
Peralatan yang anda perlukan ialah sebatang pen, sehelai kertas dan sebuah mesin kira-kira. Anda harus membuat senarai ringkas apakah jenis perbelanjaan sebenar yang perlu anda belanjakan dari pendapatan anda. Perbelanjaan sebenar contohnya bayaran ansuran pinjaman pelajaran PTPTN, bayaran Zakat, ansuran kereta, rumah dan lain-lain. Jumlahkan kesemuanya dan tetapkan difikiran anda bahawa semua perbelanjaan yang telah dijumlahkan MESTI anda sediakan tiap-tiap bulan.
Mengetahui Perbelanjaan suka-suka
Ini bukan jenaka kerana kategori perbelanjaan suka-suka inilah yang biasanya akan memesongkan anda dari matlamat sebenar. Sebagai contoh, jika anda mempunyai gaji bulanan RM4,000, anda pasti berasa sangat bangga kerana hasil titik peluh anda dibayar dengan gaji setiap bulan. Maka tibalah hari minggu yang mana kebanyakan kita akan menghabiskan sebahagian besar pendapatan pada waktu tersebut. Anda makan ditempat yang bagus-bagus dan membeli aksesori telefon pintar yang beratus-ratus ringgit harganya sedangkan anda masih ada 4 minggu lagi sebelum gaji seterusnya tiba.
Dan akhirnya, anda terpaksa berhutang kerana anda tidak memberi tumpuan kepada perbelanjaan sebenar dan ada antara banyak kes dimana duit perbelanjaan sebenar digunakan untuk perbelanjaan suka-suka seperti membeli jam tangan, membeli aksesori kereta dan motosikal atau terpengaruh dengan membeli barangan di Facebook Live. Amat mendukacitakan apabila kita ingin membantu peniaga on-line dengan membayar harga barangan original yang tinggi dan akhirnya menyebabkan kita tidak dapat buat simpanan duit pada bulan tersebut.
Perbelanjaan perayaan juga memudaratkan kita jika tidak dikawal perbelanjaan. Banyak jualan murah musim perayaan dan kita mudah terpengaruh untuk membeli. Hati-hati jika anda membeli barangan terutamanya pada musim perayaan kerana secara tidak sedar, anda telah menghabiskan sebahagian dari gaji anda.
Mengetahui Perbelanjaan Luar Jangka
Kos rawatan perubatan ibu bapa atau diri sendiri, membaiki kenderaan yang terlibat dalam kemalangan atau beg tangan anda dicuri adalah contoh perbelanjaan luar jangka yang mesti diberi perhatian. Musibah banjir yang berlaku di negara kita baru-baru ini bukan sahaja memusnahkan kediaman, harta benda dan kawasan sekitar, malah turut mengakibatkan kita kesempitan hidup kerana terpaksa memulakan kehidupan yang baru. Walaupun kita tidak tahu bila perkara sebegini akan berlaku, tetapi anda cubalah ikut pepatah melayu iaitu “sediakan payung sebelum hujan”.
Biasanya perbelanjaan luar jangkan memerlukan kos yang sangat tinggi sehingga anda boleh bergolok bergadai.